12 Februari 2010

KURSUS KRT-SRS KUBANG PASU

JITRA - Sebanyak 50 pertubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah menyertai kursus pemantapan bagi meningkatkan lagi kefahaman seluruh anggota sukarela tersebut dalam kerja-kerja perlaksanaan gerak kerja di setiap kawasan perumahan dan penempatan penduduk.

Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah, Ismail Zakaria berkata, kursus tersebut adalah sebagai bentuk pendedahan kepada semua ahli jawatankuasa KRT dan SRS yang baru ditubuhkan di setiap kawasan dalam daerah ini.

Menurutnya, penglibatan peserta kursus tersebut adalah daripada ahli jawatankuasa KRT dan SRS yang baru sahaja ditubuhkan iaitu bermula dari penghujung 2008 hinggalah September 2009.

“Tujuan diadakan kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada mereka mengenai hal-hal berkaitan pengurusan dan perjalanan KRT dan SRS yang ditubuhkan di kawasan perumahan mereka agar ianya dapat berjalan lancar dengan peranannya.

“Peserta yang dipanggil menghadiri kursus ini adalah terdiri daripada pengerusi, setiausaha, penolong setiausaha dan bendahari dari KRT manakala SRS pula adalah ketua biro keselamatan dan ketua peronda,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kursus yang melibatkan beberapa slot dan pengisian kursus tersebut memfokuskan kepada hal-hal yang berkaitan pentadbiran dan pengurusan perjalanan KRT dan SRS bagi memantapkan lagi pertubuhan tersebut dalam memainkan peranannya di dalam masyarakat setempat.

Ismail berkata, kursus tersebut bukan sahaja memberikan pendedahan malah turut memberikan kefahaman kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan konsep sebenar penubuhan dua pertubuhan tersebut.

“Bagi anggota SRS pula mereka akan mendapat kefahaman mengendalikan sistem rondaan serta mempertingkatkan kefahaman dari segi dan aspek undang-undang sekali gus menjadi panduan kepada anggota lain,” katanya.

Sementara itu, peserta kursus, Siti Dewi Che Man berkata, kebaikan menghadiri kursus tersebut banyak diperolehnya kerana memandangkan penubuhan KRT di kawasan perumahannya baru sahaja dilancarkan.

Menurutnya, dengan adanya pendedahan tersebut ianya dapat membuka minda serta gambaran dari segi perlaksanaan

secara berkesan dalam kes-kes tertentu yang berlaku di kawasan perumahan tersebut.

“Kebaikan yang diperoleh ialah dapat mengetahui peranan Rukun Tetangga kepada anggota masyarakat khususnya di taman perumahan selain mengukuhkan lagi keakraban dan hubungan antara penduduk,”katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan